Sebaik sampai ke pintu wad, jeritan Jalal menerpa ke telinga saya Jeritannya sungguh kuat kerana azab dan sakit yang ditanggungnya tidak mampu ditanggung lagi. Saya percepatkan langkah menuju ke katilnya. Di sisi katil saya lihat ahli keluarga Jalal sedang menangis tersedu-sedu. Jelas mereka panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, kecuali melihat Jalal menggelepar kesakitan dan berdoa semoga Jalal cepat sembuh. Di katil pula, Jalal meraung dan meronta sambil tangan dan kakinya terikat kemas di katil.
“Terima kasih ustaz sebab sudi datang
bantu kami. Saya dah tak tahu apa nak buat. Dah seminggu lebih adik saya
macam ni,” kata salah seorang abang kepada Jalal sebaik melihat saya
sampai. Sebelum itu mereka menghubungi saya melalui telefon meminta saya
segera datang untuk membantu menyembuhkan penyakit adik bongsu mereka
itu.
“Apa sakitnya ni?” tanya saya. “Entahlah
ustaz, doktor pun tak tau.”Sedang kami berbual, tiba-tiba sekali lagi
Jalal menjerit kesakitan. Kali ini jeritannya cukup jelas di pendengaran
saya. Jeritannya menakutkan dan menyedihkan.
“Emak, ampunkan saya mak. Panaaaassss.
Saya sakit mak, sakiiiiittttttt! Tolonglah emak, ampunkan dosa saya.”
Berserta raungan yang dilepaskan sekuat hati, tubuh Jalal menggelepar
seperti dipanggang di dalam api yang marak. Mukanya berkerut sementara
matanya terbelalak akibat azab yang amat pedih. Semua yang ada di wad
berkenaan memandang ke arah kami. Jeritan itu menyebabkan saya
tertanya-tanya. Apakah yang menyebabkan Jalal jadi sedemikian rupa? Apa
pula kaitan antara penyakitnya itu dengan ibunya? “Panggil ibunya
segera,” kata saya. Namun kata-kata saya itu tidak dijawab. Ahli
keluarga Jalal cuma terdiam, menundukkan muka atau berpandangan sesama
sendiri.
“Kenapa ni?” tanya saya. Dengan perlahan
abang Jalal bersuara, “Ustaz, ibu kami baru sahaja meninggal dunia dua
minggu lepas.” “Kalau macam ini susahlah sikit. Saya rasa mungkin Jalal
ada melakukan kesalahan besar kepada ibunya, sebab itulah dia menanggung
azab yang begini rupa. Dalam keadaan macam ini, cuma ibunya saja yang
dapat membantu,” kata saya berterus terang.
Mereka cuma mendiam diri sementara
jeritan Jalal semakin kuat. Saya semakin ingin mengetahui puncanya
kerana dengan latar belakang itu insya-Allah saya boleh cuba carikan
jalan lain untuk meredakan kesakitan Jalal.”Ceritakanlah kepada saya apa
yang sebenarnya telah berlaku.” “Ustaz, sebenarnya adik saya ini sudah
derhaka kepada arwah ibu kami,” jawab salah seorang daripada mereka.
Dengan tenang, tapi air mata bergenang
abang Jalal menceritakan kepada saya kisah yang sebenarnya, kisah yang
cukup menyayat hati saya. Menurutnya, Jalal adalah anak bongsu daripada
mereka enam beradik, empat perempuan dua lelaki dan di kalangan mereka,
Jalallah yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, sejak
kecil hinggalah dia bekerja dan seterusnya berkahwin, Jalal sentiasa
sahaja melawan dan menyanggah kata-kata ibunya.
Nasihat dan teguran ibunya pula
dipandang rendah serta tidak diendahkan. Syurga anak di bawah telapak
kaki ibunya. Walaupun berpendidikan tinggi, Jalal sentiasa sahaja
kekurangan wang, seolah-olah tidak dirahmati rezekinya. Berterusanlah
keadaan itu hingga dia berumahtangga. Keadaan menjadi semakin buruk
apabila Jalal meletakkan jawatannya di sebuah syarikat swasta. Hasratnya
adalah untuk mencari rezeki yang lebih banyak disyarikat lain, namun
nasibnya bukan sahaja tidak berubah, malah menjadi semakin parah.
Walau di syarikat manapun yang Jalal
bekerja, dia akan menghadapi masalah yang seterusnya membawa kepada dia
meletakkan jawatan. Dalam kegawatan itulah Jalal mula meminjam wang
daripada sahabat-sahabatnya. Selepas sekian lama hutangnya semakin
banyak, namun dia masih tidak mampu melunaskannya. Rumahtangga Jalal
mula kucar-kacir dan akhirnya mereka bercerai. Bagi menyelesaikan
masalah tersebut, Jalal mendesak ibunya supaya mencagarkan tanah mereka
di kampung kepada bank. Tanah seluas 12 ekar itu ditinggalkan oleh bapa
mereka yang meninggal dunia tiga tahun sebelum itu.
“Emak, saya nak tanah tu. Bank dah
setuju nak kasi RM500,000. Saya nak duit tu buat berniaga,” katanya
kasar. “Jalal, engkau ni dah melampau. Itu tanah adik-beradik kamu,”
jawab si ibu. “Ahhh, saya tak kira.” “Jalal, emak tidak benarkan. Emak
tau, duit tu nanti bukannya engkau nak buat berniaga, tapi nak bayar
hutang,” jawab ibunya.
Bukan sahaja ibunya, malah semua
adik-beradik Jalal tidak membenarkannya mencagarkan tanah tersebut
kepada bank. Jalal pulang dengan hati kecewa. Namun dia masih bertekad
untuk mendapatkan tanah berkenaan walau dengan apa cara sekalipun. Suatu
hari, Jalal datang ke rumah ibunya. Beberapa orang adik-beradiknya ada
di situ. Sekali lagi pertengkaran berlaku dan berakhir dengan tragedi
yang amat menyedihkan.
Ketika kemarahannya sampai kemuncak,
Jalal menolak ibunya sekuat-kuat hati menyebabkan kepala ibunya
terhantuk di pintu. Darah dari luka terpalit di pintu sedang ibunya
terjelopok di lantai, rebah tidak sedarkan diri. Si ibu segera dibawa ke
hospital sementara Jalal puas hati kerana dapat melepaskan
kemarahannya. Akibat pendarahan otak yang serius, ibunya meninggal dunia
tanpa sempat melafazkan keampunan kepada Jalal. Bermulalah azab dalam
hidup Jalal. Kira-kira seminggu selepas kematian ibunya, Jalal
dikejarkan ke hospital kerana jatuh sakit secara tiba-tiba. Apa yang
membingungkan ialah doktor gagal mengesan penyakit yang dihadapinya.
Jalal sebaliknya meraung, menjerit,
meronta dan menggelepar kesakitan. Dalam raungannya itulah dia meminta
ampun kepada arwah ibunya kerana tidak sanggup menanggung azab yang
pedih. Berterusanlah keadaannya selama beberapa hari hingga saya
dipanggil. Dalam waktu itu, doktor dan jururawat tidak dapat berbuat
apa-apa kecuali mengikat Jalal di katil dan menyuntiknya dengan ubat
pelali untuk menidurkannya.
“Kalau begitu kisahnya, saya cuba cara
lain,” kata saya. Di samping ayat-ayat suci al-Quran, saya membacakan
surah Yassin untuknya. Namun apabila dibacakan saja ayat suci itu, Jalal
menjerit kepanasan. Tubuhnya menggeletik dan menggelepar kesakitan.
“Aduh panasnya! Emak, ampunkanlah saya emak! Jangan bawa saya ke situ
emak, panas. Jangan bawa saya ke situ. Saya tak mau, sakit, sakit.
Tolonglah saya emak, ampunkan saya, saya bersalah.”
Jeritan Jalal itu meruntun hati saya.
Apakah yang dimaksudkannya dengan ‘ke situ’? Kenapa Jalal tidak mahu
dibawa ‘ke situ’ dan apa yang dilihatnya di situ? Akibat tidak tertahan
panas, tubuh Jalal terpaksa dibogelkan.Tangan dan kakinya terus diikat
ke katil. Selepas puas mencuba tapi keadaan Jalal masih tidak berubah,
saya meminta diri untuk pulang. Satu ingatan saya tinggalkan kepada
mereka, “Jika Jalal masih hidup selepas zuhur ini, insya-Allah nyawanya
masih panjang. Kalau tidak…” Ketika itu lebih kurang pukul 10 pagi.
Saya tinggalkan mereka, namun sedang
saya memandu, telefon bimbit saya berdering. “Ustaz! Cepat ustaz, adik
saya dah nazak,” kata si abang. Saya berpatah balik dan apabila sampai
di katilnya, saya lihat Jalal begitu tenat. Nyawanya seperti sudah di
penghujungan. Keluarganya semakin cemas sambil air mata tidak
henti-henti mengalir. Saya bacakan Surah al-Asr, Surah al-Falaq, Surah
an-Naas serta asma ul husna. Alhamdulillah, Jalal berhenti meraung dan
menggelepar. Keadaan senyap seketika. Masing-masing beristighfar dan
membaca ayat-ayat suci al-Quran. Terbayang kelegaan di wajah mereka.
Tiba-tiba, ketenangan itu dipecahkan
sekali lagi oleh jeritan Jalal. Dia mengerang sambil tubuhnya kejang
menahan kesakitan, mata terjegil seperti hendak terkeluar dan dalam satu
detik yang serentak juga najisnya terpancut keluar. Bertabur membasahi
seluarnya. Bau najis menusuk hidung kami. Maha suci Allah, keadaannya
adalah seperti sesuatu yang berat menghenyak perutnya yang mengakibatkan
nyawa, roh, najis, organ-organ dan segala-galanya yang ada di dalam
tubuh terhambur keluar secara serentak.
Di bahagian atas, semuanya seperti
hendak terpancut keluar hingga mata Jalal tersembul sementara di
bahagian bawah, kakinya kaku dan najis berhambur memancut-mancut. Cukup
aib dan menyedihkan. Pakaian dan katil basah dengan air mata, peluh
serta najisnya. Selepas ‘rentapan’ itu, Jalal tidak bernafas lagi.
Degupan jantungnya berhenti dan dia pergi menghadap Allah SWT untuk
menerima balasan amalannya. Tamatlah riwayat seorang anak derhaka.
Saya cuma mampu melihat dengan gementar
sementara keluarga Allahyarham menangis dan berpelukan sesama sendiri.
Yang perempuan terpaksa keluar kerana tidak sanggup melihat mayat adik
mereka. Demikianlah sakaratulmaut datang menjemput Jalal. Seperti yang
dijelaskan di dalam al-quran dan hadis, ia datang dengan menyentap,
merentap dan merenggut nyawa Jalal tanpa ada kasihan belas. Sudah
berpuluh-puluh tahun saya menguruskan jenazah dan melihat orang
menghadapi saat kematiannya, namun pengalaman menyaksikan sakaratulmaut
menjemput Jalal cukup memilukan hati saya. Kesengsaraan yang ditanggung
oleh Jalal sudah berakhir, namun mayatnya meninggalkan keaiban yang amat
sangat.
Matanya terbonjol seperti hendak
terkeluar sementara giginya menyeringai. Dari kerut wajahnya, jelas
sekali Allahyarham baru sahaja menanggung kesakitan dan azab yang amat
pedih. Saya cuba pejamkan mata Allahyarham, namun gagal. Kelopak mata
tidak berupaya untuk menutup biji matanya yang tersembul itu. Cukup
mengerikan kerana hanya mata putih sahaja yang kelihatan. Ikatan di kaki
dan tangan Allahyarham dileraikan dan tangannya dikiamkan. Kaki
Allahyarham dirapatkan, namun sekali lagi saya menyaksikan keaiban kaki
Allahyarham tidak boleh dirapatkan kerana duburnya terpancut keluar dan
membonjol di celah kelengkangnya.
Saya menenangkan mereka supaya bersabar
dan reda dengan apa yang telah terjadi. Selesai membersihkan tubuh
Allahyarham, jenazah dibawa turun kerana keluarganya mahu menguruskan
jenazah tersebut di rumah mereka di salah sebuah taman perumahan di
sebuah negeri di pantai barat semenanjung. Rupa-rupanya keaiban belum
berakhir. Sebaik sahaja van yang membawa Allahyarham keluar dari
perkarangan hospital, tiba-tiba keempat-empat shock absorbernya patah
secara serentak.
Van yang cuma membawa lima orang, mayat
yang badannya sederhana sahaja, dua orang abang dan kakaknya, pemandu
serta seorang pembantu, boleh patah shock absorbernya? Kelindan van
bergegas memanggil kami. Maha suci Allah, Tuhan yang Maha Besar, apabila
hendak dikeluarkan dari van, jenazah itu kami rasakan teramat berat
hingga terpaksa diangkat oleh kira-kira 15 orang. Selesai masalah itu,
satu lagi masalah timbul525950_508145219206512_1757148171_n – tidak ada
van atau kereta yang berani untuk mengangkat jenazah tersebut. Kebetulan
sebuah lori kosong yang mengangkat tanah, pasir ataupun kelapa sawit
lalu di tempat kejadian. Dengan lori itulah jenazah dibawa pulang ke
rumahnya.
Apa yang membingungkan kami ialah
walaupun mayat berkenaan terlalu berat, tapi kayu penusungnya tidak pula
patah. Lori bertolak ke rumah Allahyarham sementara saya pula memandu
pulang ke rumah. Saya dimaklumkan bahawa Allahyarham dikebumikan di
sebelah kubur ibunya. Namun diceritakan juga kepada saya bahawa tanah
yang ditambun ke atas kuburnya tidak mencukupi. Untuk mengelakkan kubur
Allahyarham berlubang, tanah lain terpaksa diambil dan ditambur ke
atasnya.
Tiga hari kemudian, saya menerima
panggilan telefon daripada keluarga Allahyarham. “Ustaz, saya nak minta
pertolongan dan pandangan daripada ustaz.” “Apa masalahnya itu?” tanya
saya. “Kubur adik saya berlubang ustaz.” Masya-Allah, demikian sekali
keaiban yang Allah tunjukkan kepada anak yang derhaka kepada ibunya.
Menurut abang Allahyarham, kewujudan lubang itu disedari sehari selepas
Allahyarham dikebumikan. Lubang tersebut bermula dari bahagian tengah
kubur hinggalah mencecah kepada papan yang menutup liang lahad. Tambah
abang Allahyarham lagi, mereka mengambusnya dengan tanah, namun keesokan
harinya kubur tersebut berlubang semula.
“Begini sajalah, cuba masukkan sekali
kayu atau papan ke dalam lubang tersebut, insya-Allah, tak berlubang
lagi,” kata saya. Namun keesokan harinya sekali lagi abang Allahyarham
menghubungi saya memberitahu bahawa kubur berkenaan berlubang semula.
Apa yang membingungkannya, tanah di kubur arwah ibunya langsung tidak
berubah, masih tetap membusut walaupun sudah lebih dua minggu
dikebumikan. Bukan itu sahaja, katanya, pokok yang ditanam di kubur
ibunya juga hidup segar sedangkan pokok yang ditanam di kubur adiknya
mati kelayuan. Pada hari kelima, saya menghubungi abang Allahyarham.
“Begini sajalah,” kata saya. “Mulai
malam ini buatlah majlis Yassin dan tahlil. Panggil 20 orang dan setiap
seorang baca Surah Yassin sebanyak 2 kali. Apabila selesai bacaan
Yassin, minta imam bacakan doa supaya diampunkan dosa Allahyarham kepada
ibunya. Baca dalam bahasa Melayu dan ulang doa itu sebanyak tujuh
kali.”
Seperti yang saya nasihatkan, pada malam
berkenaan mereka mengadakan majlis itu. Namun saya diberitahu, imam
yang membaca doa tersebut menggigil ketakutan. Alhamdulillah, pada hari
ketujuh, kubur berkenaan tidak lagi berlubang. Peristiwa ini sudah
berlaku empat tahun lepas namun masih terbayang-bayang di mata saya.
Setiap kali tibanya hari raya aidilfitri, setiap kali itulah peristiwa
tersebut menjelma dalam ingatan kerana ia terjadi cuma beberapa hari
selepas kita berhari raya. Sungguh menyentuh hati saya, ketika orang
sedang bergembira berhari raya, ketika itulah keluarga tersebut ditimpa
petaka, si ibu meninggal dunia dan anaknya yang derhaka diazab hingga ke
akhir hayatnya.
Kisah ini saya paparkan bukan untuk
mengaibkan Allahyarham ataupun keluarganya, tapi supaya kita dapat
mengambilnya sebagai pedoman dan iktibar. Doakanlah semoga dosa
Allahyarham Jalal diampunkan Allah. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan