Pertama:
Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian sebagaimana
ditunjukkan dalam banyak hadis sahih, antaranya Rasulullah s.a.w
bersabda yang bermaksud: “(Barang siapa yang ucapan terakhirnya Laa
ilaaha illallah maka dia masuk syurga).” (Hadis Hasan)
Kedua:
Kematian yang disertai dengan basahnya kening dengan keringat atau
peluh berdasarkan hadis Buraidah bin Hushaib r.a: Dari Buraidah bin
Khusaib r.a (bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang membesuk
seorang sahabatnya yang sakit dia mendapatinya sudah meninggal tiba-tiba
keningnya berkeringat maka dia berkata: Allahu Akbar, aku mendengar
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Kematian seorang mukmin
disertai keringat di keningnya). (Hadis Sahih)
Ketiga:
Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam Jumaat
atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w (tidaklah seorang
Muslim yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah
melindunginya daripada seksa kubur).
Keempat:
Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana ertinya:
(Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh
di jalan Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi Tuhan
mereka. Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepada
mereka dan memberi khabar gembira kepada orang yang belum mengikuti
mereka di belakang janganlah mereka takut dan sedih. Mereka memberi
khabar gembira dengan kenikmatan dari Allah dan kurnia-Nya dan bahawa
Allah tidak mensia-siakan balasan bagi orang-orang beriman). (Surah Ali
Imran ayat 169-171)
Rasulullah
s.a.w bersabda: “(Orang yang syahid mendapat kan enam perkara: Diampuni
dosanya sejak titisan darahnya yang pertama, diperlihatkan tempatnya
dalam syurga, dijauhkan dari seksa kubur, diberi keamanan dari goncangan
yang dahsyat di hari kiamat, dipakaikan mahkota keimanan, dinikahkan
dengan bidadari syurga, diizinkan memberi syafaat bagi tujuh puluh
anggota keluarganya.”
Kelima:
Mereka yang meninggal ketika berjuang di jalan Allah (bukan terbunuh)
berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w: “(Apa yang kalian nilai sebagai
syahid antara kalian? Mereka berkata: Ya Rasulullah siapa yang terbunuh
di jalan Allah maka dia syahid. Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya
syuhada’ umatku sedikit ). Mereka berkata: Lalu siapa mereka Ya
Rasulullah?
Baginda
berkata: (Barang siapa yang terbunuh di jalan Allah syahid, barang
siapa yang mati di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati kerana
wabak taun syahid, barang siapa yang mati kerana penyakit perut syahid
dan orang yang tenggelam syahid).”
Keenam:
Mati kerana satu wabak penyakit taun berdasarkan beberapa hadis
antaranya: Rasulullah s.a.w bersabda: (Wabak taun adalah kesyahidan bagi
setiap Muslim).
Ketujuh: Mereka yang mati kerana penyakit dalam perut berdasarkan hadis di atas.
Kelapan
dan kesembilan: Mereka yang mati kerana tenggelam dan terkena runtuhan
berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: (Syuhada ada lima: yang
mati kerana wabak taun, kerana penyakit perut, yang tenggelam, yang
terkena runtuhan dan yang syahid di jalan Allah).
Kesepuluh:
Mereka yang matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan melahirkan
anaknya: Dari Ubadah bin Shamit r. a bahawa Rasulullah s.a.w menjenguk
Abdullah bin Rawahah dan berkata: Beliau tidak berpindah dari tempat
tidurnya lalu berkata: Tahukah kamu siapa syuhada’ dari umatku? Mereka
berkata: Terbunuhnya seorang Muslim adalah syahid. Beliau berkata: (Jadi
sesungguhnya para syuhada’ umatku, terbunuhnya seorang Muslim syahid,
mati kerana wabak taun syahid, wanita yang mati kerana janinnya syahid
(ditarik oleh anaknya dengan tali arinya ke syurga).
Kesebelas dan kedua belas:
Mereka yang mati kerana terbakar dan sakit bengkak panas yang menimpa
selaput dada di tulang rusuk, ada beberapa hadis yang terkait yang
paling masyhur: Dari Jabir bin ‘Atik dengan sanad marfu’: (Syuhada’ ada
tujuh selain terbunuh di jalan Allah: yang mati kerana wabak tha’un
syahid, yang tenggelam syahid, yang mati kerana sakit bengkak yang panas
pada selaput dada syahid, yang sakit perut syahid, yang mati terbakar
syahid, yang mati terkena runtuhan syahid, dan wanita yang mati setelah
melahirkan syahid).
Ketiga belas:
Mereka yang mati kerana sakit TB berdasarkan hadis: Rasulullah s.a.w
bersabda yang bermaksud: (Terbunuh di jalan Allah syahid, wanita yang
mati kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar syahid, orang yang
tenggelam syahid, dan yang mati kerana sakit TB syahid, yang mati kerana
sakit perut syahid). (Hadis Hasan)
Keempat belas:
Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang hendak dirampas.
Dalam hal itu ada beberapa hadis di antaranya: Rasulullah s.a.w bersabda
yang bermaksud: (Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya (dalam
riwayat: barang siapa yang hartanya diambil tidak dengan alasan yang
benar lalu dia mempertahankannya dan terbunuh) maka dia syahid).
Kelima belas dan keenam belas:
Mereka yang mati kerana mempertahankan agama dan dirinya: Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang terbunuh kerana
hartanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana keluarganya syahid,
barang siapa yang terbunuh kerana agamanya syahid, barang siapa yang
terbunuh kerana darahnya syahid).
Ketujuh belas:
Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga di perbatasan) di jalan
Allah. Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya: Rasulullah s.a.w
bersabda yang bermaksud: (Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa
dan qiyamul lail selama sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan
untuknya amalan yang biasa dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan
di amankan dari fitnah).
Kelapan belas:
Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w
bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang mengucapkan: Laa ilaaha
illallah mengharapkan wajah Allah lalu wafat setelah mengucapkannya maka
dia masuk syurga, barang siapa berpuasa satu hari mengharapkan wajah
Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga, barang
siapa yang bersedekah dengan satu sedekah meng harapkan wajah Allah lalu
wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga).
Kesembilan belas:
Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana memberi nasihat
kepadanya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Penghulu para
Syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan seseorang yang mendatangi
penguasa yang zalim lalu dia memerintahkan yang baik dan melarang dari
yang mungkar lalu dia dibunuh nya) Hadis dikeluarkan oleh Al-Hakim dan
disahihkannya dan Al Khatib.
Sama-samalah kita berdoa agar kita sama termasuk dalam senarai di atas. Amin Ya Rabbal ‘aalamin. (Dipetik dari sebuah blog)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan