Apakah Itu Jerebu?
Jerebu disebabkan
oleh zarah terampai di dalam atmosfera. Pada kepekatan yang tingg,
zarah ini terserak dan menyerap cahaya matahari menyebabkan ketampakan
mengufuk mengurang serta menjadikan atmosfera kelihatan pendar baiduri.
Jerebu tidak hanya terbatas di kawasan
bandar tetapi juga di luar bandar. Zarah yang menyebabkan fenomena
jerebu berasal daripada pelbagai sumber yang terhasil secara semulajadi
atau aktiviti manusia.
Zarah-zarah terhasil daripada aktiviti manusia seperti:
-
Pembakaran terbuka
-
Pembukaan tanah
-
Penggunaan kenderaan bermotor
-
Pembakaran bahan api industri
Jerebu di Malaysia
Di kawasan tropika , angin biasanya
bertiup perlahan. Bagi tempoh tertentu terutamanya semasa monsun barat
daya, keadaan atmosfera sangat stabil dimana pergerakan udara mengufuk
dan menegak berkurangan. Dalam keadaan ini, pembentukan awam adalah
tidak aktif dan menyebabkan cuaca menjadi kering.
Faktor-faktor yang membantu pembentukan jerebu:
-
Tempoh cuaca kering yang panjang
-
Keadaan atmosfera yang stabil
-
Sumber pencemaran yang pelbagai
Zarah-zarah yang bebas di atmosfera akan terperangkap dalam jisim udara yang terapung dan meningkatkan kepekatannya yang menyebabkan keadaan atmosfera berjerebu. Di Semenanjung Malaysia, keadaan berjerebu biasanya berlaku dari bulan Januari ke Februari dan Jun ke Ogos. Sebaliknya, semasa Monsun Timur Laut, angin lengas timur laut bertiup kuat dari Laut China Selatan mempunyai kelembapan tinggi sering membawa hujan di daratan, oleh itujerebu jarang kelihatan.
Bagaimana Jerebu Menghilang?
Dalam keadaan atmosfera yang
berubah-ubah, terdapat hari yang berjerebu dan cerah. Apakah yang
menyebabkan perubahan ini? Bila keadaan berjerebu, zarah-zarah di
atmosfera disingkirkan melalui beberapa proses iaitu:
-
Pemendapan – zarah yang lebih berat mendap ke bumi melalui pemendapan graviti.
-
Basuhan hujan (rainout) – pemeluwapan wap ke atas zarah membentuk titis air yang akhirnya menghasilakan awan.
-
Cucian (washout) – zarah disingkirkan melalui pelanggaran dan pencantuman dengan titisan hujan.
-
Pergolakan – zarah jerebu di paras atmosfera tinggi lebih senang terserak dan tersebar. Hujan lebat atau ribut petir yang menyeluruh dengan arus menaik dan menurun yang kuat boleh menyingkirkan jerebu dengan berkesan.
-
Tempoh hujan renyai yang singkat biasanya tidak berkesan dalam menghilangkan jerebu teruk.
Adakah Jerebu Berbahaya?
Jerebu
berasal daripada sumber semulajadi seperti garam laut dan tanah adalah
tidak memudharatkan manusia. Jerebu nipis dan sementara yang wujud di
kebanyakan bandar tidak memberi kesan serius pada kesihatan jangka
panjang penduduk. Namun, episod jerebu yang teruk boleh membahayakan
kesihatan. Kejadian terdahulu melaporkan peningkatan kejadian iritasi
mata dan kerongkong serta kesukaran bernafas kepada mereka yang
sensitif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan